Pertussis atau Batuk Kokol

Pertussis atau batuk kokol, juga dikenali sebagai whooping cough, adalah jangkitan bakteria akut yang melibatkan saluran pernafasan. Jangkitan Pertussis melibatkan sekurang-kurangnya 20 juta kes di seluruh dunia dan anggaran 90% daripada kes tersebut berlaku di negara membangun dengan 200,000 hingga 300,000 kematian setiap tahun.

Agen penyebab jangkitan Pertussis adalah Bordetella Pertussis, dan ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Namun, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti, terutamanya mereka yang belum menerima pelalian.

Cara jangkitan Pertussis adalah melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti, dan tempoh pengeraman biasanya antara 9 hingga 10 hari dengan julat antara 6 hingga 20 hari. Gejala Pertussis bermula dengan batuk gatal dan lama kelamaan menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu dan berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.

Tanda paroxysms adalah batuk berulang yang berterusan dan teruk. Setiap siri paroxysms boleh menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas. Kahak batuk selalunya berwarna jernih dan batuk juga boleh disusuli oleh muntah. Seseorang yang dijangkiti bakteria Pertussis boleh menularkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh dua minggu pertama gejala batuk bermula.

Komplikasi akibat Pertussis termasuk pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian. Selain itu, kekurangan zat dan hilang berat badan merupakan komplikasi akibat muntah yang berulang, manakala sawan juga boleh berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan tanpa sempat bernafas.

Seseorang yang mengalami gejala perlu mendapatkan rawatan, dan rawatan khusus termasuk antibiotik seperti Erythromycin, Clarithromycin atau Azithromycin untuk memendekkan tempoh jangkitan. Pencegahan Pertussis dilakukan melalui pelalian yang merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat. Pelalian menggunakan vaksin Pertussis dan sekurang-kurangnya 3 dos diberikan secara suntikan. Di Malaysia, pelalian diberikan kepada bayi sebanyak 4 dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan. Pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan (booster) pada umur 18 bulan.

Seseorang yang mempunyai gejala batuk perlu mengamalkan adab batuk (menutup mulut ketika batuk) dan mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan.