Strok Haba

Strok haba merupakan suatu penyakit yang berpunca dari pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas sehingga menyebabkan suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40c (darjah Celsius) atau lebih.

Kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat. Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar agar tidak terdedah kepada suhu tinggi selain segera mendapatkan rawatan sekiranya ada gejala strok haba.

Antara tanda-tanda seseorang itu mengalami strok haba ialah denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa debar-debar, pernafasan laju dan pendek. Simptom lain termasuklah badan terasa panas dan kering, sakit kepala, pening, berasa mual, pengsan atau sawan.

Individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenalpasti berisiko tinggi mendapatkan strok haba seperti sector pembinaan, pertanian, pengawal keselamatan, polis, tentera yang bekerja di bawah sinaran matahari terik.  Bagi kaki bersenam, pilih waktu lebih sejuk seperti awal pagi atau malam untuk melakukan aktiviti kecergasan.

Dalam cuaca yang panas juga, ibu bapa perlu memantau pergerakan anak mereka, kanak-kanak yang leka bermain menyebabkan mereka tidak hirau cuaca panas, sedangkan mereka adalah golongan yang paling berisiko mengalaminya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) juga telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negeri akibat peralihan monson dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023. 

Orang awam dinasihatkan agar lebih prihatin akan beberapa langkah pencegahan penting untuk mengelakan berlakunya strok haba. Selain sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada MET Malaysia.

Amalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung.